Friday 28 October 2016

Sejarah Pahang (W. Linehan 1936)

Sejarah Negeri Pahang Darul Makmur telah mula dicatat sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada ketika itu, Semenanjung Tanah Melayu dikenali sebagai "Pahang" sahaja. Hal ini dibuktikan dengan catatan Nagarakretagama1 yang ditulis pada tahun 1365. Dalam banyak catatan lain, Pahang merupakan kawasan yang dominan di Semenanjung Tanah Melayu disebabkan keluasan kerajaan ini yang merangkumi kesemua kawasan sebelah selatan Semenanjug. Pada tahun 1225, penulis Cina bernama Chau Ju-Kua telah merekodkan nama "Pong-fong" bagi merujuk kepada Pahang iaitu salah sebuah negeri naungan San Fo-ts'i (Srivijaya). Wang Ta-Yuan pada tahun 1349 pula menyebut P'eng K'eng dan Pa-tu-ma bagi merujuk kepada Pahang dan Pulau Tioman2. Sejarah Empayar Ming (1368-1643) turut ada menyebut tentang Pahang iaitu sebagai sebuah kerajaan yang diketuai oleh Maharaja Tajau dan terletak di sebelah barat Siam. Maharaja Tajau ini telah menghantar diplomat ke Cina pada tahun 1378 (Linehan 1936). Oleh itu, telah dapat dibuktikan sebuah kerajaan telah terbina di Pahang seawal abad ke-13 iaitu mendahului Melaka.

Rajah 1. Peta Pahang dan anggaran lokasi-lokasi yang disebut dalam artikel ini

Negeri Pahang menyimpan bukti prasejarah Malaysia dengan penemuan tamadun Mesolitik yang masih menggunakan peralatan zaman Paleolitik di Gunung Senyum3. Selain Gunung Senyum, Kesan tamadun Mesolitik juga dijumpai di Sungai Lembing4. Di sini, kesan tamadun Papua-Melanesoid5 berusia kira-kira 6000 tahun dijumpai iaitu bukti migrasi prasejarah tertua di Semenanjung. Sekitar 1500 S.M., relik-relik (objek peninggalan zaman prasejarah) Neolitik telah tiba di Pahang yang dipercayai berasal dari China. Di Tembeling6 dan Tresang7 pula, relik-relik zaman Gangsa dijumpai. Linehan mengatakan tamadun Gangsa tidak sampai ke Semenanjung sehinggalah 400 S.M.. Tembeling dan Tresang juga dikaitkan dengan tamadun zaman Besi dan Emas. Hal ini dibuktikan dengan penemuan peralatan logam seperti "tulang mawas8". Selain itu, hasil kerja-kerja emas turut dijumpai di Selinsing yang terletak di Jelai9.

Suku kaum primitif yang tinggal di Pahang sebelum kebanjiran orang-orang Melayu moden adalah daripada kumpulan Semang, Sakai dan Jakun. Semang atau Pangan boleh dijumpai sehingga ke kawasan Cheka10 manakala Sakai mendiami kawasan-kawasan pedalaman Pahang. Kawasan hutan sekitar pesisir pantai dihuni pula oleh Melayu-Proto11 Jakun dan Orang Laut. Kumpulan-kumpulan ini akhirnya mengalami proses penyatuan dan penyerapan ke dalam kumpulan Melayu yang tiba kemudiannya (Linehan 1936). Begitulah ringkasan mengenai pembentukan negeri Pahang yang bermula dengan peradaban Mesolitik sehinggalah ketibaan orang-orang Melayu.

Video 1. Dokumentari ringkas mengenai Pahang Darul Makmur

Nota Kaki:
1. Sebuah kakawin (puisi Jawa) yang ditulis pada naskhah lontar (sejenis daun palma) oleh Mpu Prapanca sebagai eulogi (tulisan atau ucapan terhormat yang formal, mengandungi pujian dan doa yang tinggi untuk seseorang atau benda) kepada Hayam Wuruk (r. 1350-1389), raja Majaahit.

2. Linehan tidak dapat memastikan Pa-tu-ma sebagai Pulau Tioman.

3. Terletak di Jengka, daerah Maran.

4. Terletak di daerah Kuantan.

5. Kumpulan etnik yang dipercayai sebagai nenek moyang etnik Papua dan Melanesia.

6. Terletak di daerah Jerantut.

7. Terletak di daerah Raub.

8. Alat besi yang dipercayai digunakan oleh pelombong atau dalam kerja pembuatan kapal.

9. Terletak di daerah Kuala Lipis.

10. Terletak di daerah

11. Kumpulan Melayu asli iaitu mendahului kumpulan Melayu-Deutero. Melayu-Deutero merupakan nenek moyang kepada orang Melayu moden.

Rujukan:
Linehan, W. 1936. A History of Pahang. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment