Saturday 29 October 2016

Asal Usul Nama Pahang

Sumber rasmi kerajaan pusat memberikan tiga perenggan artikel tentang asal usul nama Pahang yang berbunyi:
"Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong -Fong, Phe-Hang,Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225 Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur. 
Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, Phang dan Pahagh.  G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang. Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada setengah pendapat menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli yang dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sungai Tembeling. 
Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu. Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu. Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Pekan. Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura."
(Jabatan Penerangan Malaysia 2009)

Artikel ini adalah sebahagian daripada kertas kerja Abdul Jalil Borham bertajuk "Jejak Warisan Pahang Pencetus Tamadun Pembangunan Modal Insan Holistik" yang dibentangkan pada 2010. Sumber yang digunakan Abdul Jalil Borham adalah daripada Friedrich Hirth & W.W. Rockhill (1911), G.R. Tibbetts (2002), Mohamed Roselan Abdul Malek (1998) dan Buyong Adil (1984).


Rujukan:
Abdul Jalil Borham. 2010. Jejak Warisan Pahang Pencetus Tamadun Pembangunan Modal Insan Holistik. Kertas Kerja Ucaptama Seminar Kebangsaan Jejak Warisan Negeri Pahang: Wacana Mengingati Sejarah Ke Arah Kecemerlangan Masa Depan. Universiti Malaysia Pahang.

Asal Usul Nama Negeri Pahang. Jabatan Penerangan Malaysia. 2009. [29 Oktober 2016].

Buyong Adil. 1984. Sejarah Pahang. Cetakan 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamed Roselan Abdul Malek.1998. Negeri Pahang Darul Makmur. Petaling Jaya: Oscar Book International.

Hirth, F. & Rockhill, W.W.. 1911. Chau Ju-Kua: His Work on the Chinese and Arab Trade in the twelfth and thirteenth Centuries, entitled Chu-fan-chi. St. Petersburg: Printing Office of the Imperial Academy of Sciences.

Tibbetts, G.R.. 2002. Arab Navigation in the India Ocean Before the Portuguese. 1 Edition.


No comments:

Post a Comment