Wednesday 16 November 2016

Iraq: Pengenalan

Republik Iraq atau Jumhuriyyat al-Iraq (bahasa Arab) atau Komari Eraq (bahasa Kurdish) merupakan sebuah negara yang terletak di Timur Tengah (Asia Barat). Ia bersempadan dengan Turki di utara, Iran di timur, Kuwait dan Arab Saudi di selatan, serta Syria dan Jordan di barat. Keluasan Iraq adalah 438,317 km2 dan mempunyai penduduk seramai 33 juta orang. Baghdad merupakan ibu negara dengan penduduk dianggarkan seramai 7.7 juta orang (2014). Dua kumpulan etnik terbesar adalah Arab dan Kurdish manakala Islam merupakan agama yang paling ramai penganut. Penganut Islam ini dipecahkan kepada dua kumpulan sektarian utama iaitu Syiah dan Sunni. Bahasa rasmi yang digunakan di Iraq adalah bahasa Arab dan bahasa Kurdish. Pada saat ini, Iraq mempunyai sistem pemerintahan persekutuan republik berparlimen yang diketuai oleh Fuad Masum sebagai presiden iaitu selaku ketua negara dan Haider al-Abadi sebagai perdana menteri iaitu selaku ketua kerajaan.

 Rajah 1. Bendera Iraq

Rajah 2. Jata negara Iraq

Rajah 3. Peta Iraq

Wednesday 2 November 2016

Aliran dan Struktur Kuasa Kerajaan

Dalam sesebuah kampung, akan wujud sebuah pentadbiran yang bertugas untuk menguruskan kampung tersebut seperti halnya sebuah pentadbiran kerajaan pusat yang bertugas untuk menguruskan negara. Kuasa mentadbir sesebuah kampung merupakan kuasa yang diturunkan daripada kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan merupakan pemilik kuasa tertinggi di Malaysia yang boleh menjalankan apa-apa bentuk kekuasaan ke atas negara ini. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan kuasa ini hanya wujud disebabkan pemberian atau persetujuan kerajaan bagi negeri-negeri yang menganggotai Persekutuan.

Pemberian kuasa atau persetujuan ini ditetapkan pula oleh perjanjian persekutuan (menerusi Perlembagaan Persekutuan) sehingga menjadikan kerajaan Negeri sebagai kerajaan yang berada pada peringkat lebih bawah daripada kerajaan Persekutuan. Hal ini berbeza dengan sistem politik dan kuasa yang disebut sebagai konfederasi/pergabungan (confederation) dan unitari/negeri kesatuan (unitary state). Dalam konfederasi, kerajaan di peringkat wilayah atau negeri masih dianggap lebih berkuasa berbanding kerajaan di peringkat pusat. Sebagai contoh kerajaan Kesatuan Eropah (EU) mempunyai kuasa terhad ke atas kerajaan-kerajaan di bawahnya. Disebabkan itulah, United Kingdom boleh membuat keputusan untuk meninggalkan EU tanpa perlu mendapat persetujuan daripada EU. Dalam negara unitari pula, kerajaan pusat mempunyai kuasa penuh dan kuasa yang diberikan kepada kerajaan di peringkat wilayah atau negeri boleh ditarik balik. Malah, kerajaan di peringkat wilayah atau negeri ini boleh diciptakan atau dimansuhkan dengan bebas.

Aliran dan struktur kuasa di Malaysia adalah seperti Rajah 1 dimana kerajaan-kerajaan negeri bersetuju untuk membentuk Persekutuan dan membekalkan kuasa-kuasa tertentu kepada persekutuan itu. Kuasa yang diberikan kepada Persekutuan adalah sangat besar sehingga menjadikan kerajaan Pusat sebagai lebih berkuasa. Pada tahap ini, kerajaan Negeri dianggap sebagai unit politik bawahan kerajaan Pusat. Setelah itu, kuasa-kuasa yang dipunyai oleh kerajaan Negeri diturunkan pula kepada kerajaan Tempatan bagi memudahkan urusan pentadbiran.

Rajah 1. Struktur Pembahagian Wilayah (Pentadbiran dan Kuasa)

Bidang kuasa kerajaan Pusat dan Negeri dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, Perkara 74, 77, Perlembagaan Persekutuan. Kuasa kerajaan Negeri meliputi; (i) hal-hal berkaitan dengan agama Islam dan adat Melayu, (ii) tanah, (iii) pertanian dan hutan, (iv) perkhidmatan tempatan, (v) perkhidmatan lain berciri tempatan, (vi) kerja-kerja negeri dan air, (vii) jentera kerajaan negeri, (viii) hari kelepasan negeri, (ix) pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara dalam Senarai Negeri, (x) siasatan bagi maksud Negeri, (xi) tanggung rugi berkenaan dengan mana-mana perkara dalam Senarai Negeri, dan (xii) penyu dan penangkapan ikan di sungai serta perpustakaan, muzium dan lain-lain perkara berkaitan dengan sejarah yang tidak diisytiharkan sebagai persekutuan. Senarai (ii), (iv) dan (v) berkaitan dengan kuasa kerajaan Negeri yang mengawal dan menguruskan wilayahnya dengan mengwujudkan satu bentuk pentadbiran di bawahnya dan menyerahkan kuasa-kuasa tertentu kepada pentadbiran ini. Kuasa dan fungsi pentadbiran ini dapat dijelaskan pula oleh Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan 1976) dan Akta 172 (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976).

Sepertimana negeri-negeri lain, kerajaan Negeri Pahang telah menurunkan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menguruskan sebelas buah daerahnya. Daerah-daerah ini mempunyai Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah bersesuai dengan kriteria tertentu seperti jumlah penduduk dan hasil tahunan (Rajah 2). Buat masa ini, Kuantan, Temerloh dan Bentong merupakan Majlis Perbandaran manakala Pekan, Lipis, Maran, Bera, Raub, Jerantut, Rompin dan Cameron Highlands mempunyai Majlis Daerah.



Berkaitan dengan daerah Kuantan, sistem berkerajaan tempatan mula dilaksanakan pada 1 Ogos 1913 dengan penubuhan Kuantan Sanitary Board yang bertanggungjawab terhadap kawalan kebersihan, kesihatan dan kawalan pembangunan. Badan ini kemudiannya digantikan oleh Lembaga Bandaran Kuantan (Kuantan Town Board) pada tahun 1937 sebelum dinaiktaraf kepada Majlis Bandaran Kuantan (Kuantan Town Council) pada tahun 1953. Pada 1 September 1979 pula, Majlis Bandaran Kuantan menjadi Majlis Perbandaran Kuatan (Kuantan Municipal Council).

Daerah dan Majlis Daerah (Majlis Perbandaran) merujuk kepada dua perkara yang berlainan tetapi mempunyai kaitan yang kuat. Daerah bolehlah diertikan sebagai wilayah atau sempadan kawasan yang lebih kecil dalam suatu negeri. Negeri dipecahkan kepada beberapa kawasan yang lebih kecil bagi memudahkan urusan mentadbir. Urusan pentadbiran ini diuruskan oleh dua badan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Daerah/Bandaran/Perbandaran. Pejabat Daerah dan Tanah diketuai oleh pegawai daerah manakala Majlis Daerah diketuai oleh Yang di-Pertua Majlis. Biasanya, urusan-urusan pentadbiran, pengurusan dan penyelengaraan dijalankan oleh Majlis. Pegawai daerah pula dilantik sebagai wakil kerajaan Negeri bagi memantau keseluruhan perjalanan daerah tersebut. Tugas dan fungsi keduanya kadang kala sukar difahami kerana boleh dianggap sebagai bertindih. Mungkin perumpaan berikut boleh memberi sedikit gambaran;
"Di dalam sebuah daerah, terdapat beberapa kawasan lebih membangun sama ada bertaraf pekan, bandar atau bandaraya. Bagi bandar-bandar besar dan bandaraya, akan diwujudkan sebuah badan yang mengurus, mentadbir dan membangun kawasan itu. Inilah Majlis Daerah, Bandaran atau Bandaraya. Pegawai daerah sebagai pegawai yang dilantik kerajaan Negeri pula mengurus, mentadbir dan membangun keseluruhan kawasan daerah tersebut. Di tempat-tempat di mana Majlis berkuasa, pegawai daerah masih bertindak sebagai elemen tertinggi namun mengambil pendekatan selari dengan Majlis."
Seperti mana pembahagian Negeri kepada wilayah atau sempadan kawasan yang lebih kecil disebut daerah, daerah juga boleh dibahagikan kepada wilayah atau sempadan kawasan yang lebih kecil disebut mukim. Dalam kes daerah Kuantan, Kuantan dibahagikan kepada enam mukim iaitu Beserah, Kuala Kuantan, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan dan Ulu Lepar. Setiap mukim ini ditadbir oleh seorang penghulu mukim. Di mukim Kuala Kuantan, wujud dua pembahagian iaitu Kuala Kuantan 1 dan Kuala Kuantan 2 yang masing-masing diketuai oleh Penghulu Kuala Kuantan 1 dan Penghulu Kuala Kuantan 2. Kampung Sri Damai terletak dalam mukim Kuala Kuantan (Kuala Kuantan 2). Buat masa sekarang, jawatan Penghulu Kuala Kuantan 2 dikosongkan manakala Kampung Sri Damai diketuai oleh Zulkarnain Bin Nabi Ahmad yang dilantik sebagai ketua kampung. Selain pembahagian kewilayahan ini, Kampung Sri Damai terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis dan kawasan Parlimen Pekan. Ahli DUN Pulau Manis ialah Khairudin Bin Mahmud manakala ahli Parlimen ialah Mohd Najib Bin Abdul Razak. Pegawai daerah Kauntan ialah Zaliza Bin Zulkipli manakala Yang di-Pertuan Majlis Perbandaran Kuantan ialah Fadzilla Bin Salleh.

Rajah 3. Pembahagian mukim-mukim berserta populasi penduduk bagi daerah Kuantan

 Rajah 4. Tingkat Penempatan berdasarkan hierarki penempatan ekumenopolis yang difikirkan oleh Konstantinos Apostolos Doxiadis yang ditulis dalam buku Ekistics pada tahun 1968 

Rajah 5. Aliran dan struktur kuasa kerajaan bagi Kampung Sri Damai


Rujukan:

Akta 171, Perlembagaan Persekutuan.

Akta 172, Perlembagaan Persekutuan




Tuesday 1 November 2016

Saturday 29 October 2016

Konsep Pengasingan Kuasa Kerajaan Pusat dan Negeri

Sejak tahun 1895, Negeri Pahang telah berada dalam unit politik gabungan yang disebut persekutuan. Sebelum menyertai persekutuan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB), Pahang dianggap sebagai sebuah negeri (negara) merdeka meskipun pada kebanyakan masa berada di bawah pengaruh atau kekuasaan kerajaan lain seperti Melaka, Johor dan British.

Pada tahun 1946, NMB diserapkan ke dalam Malayan Union (MU) sebelum MU ditukarkan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1957, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Seorang raja daripada kalangan sembilan raja-raja Melayu dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong. Kemudiannya, Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak lalu membentuk Persekutuan Malaysia. Sistem pemerintahan persekutuan kekal digunapakai sehingga ke hari ini.

Dalam sistem raja berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negeri, raja-raja Melayu sebagai ketua negeri-negeri Melayu atau Yang di-Pertuan Negeri sebagai ketua negeri-negeri yang tidak beraja, memerintah mengikut Perlembagaan atau Undang-undang yang telah ditetapkan. Sepertimana Rajah 1, sebuah kerajaan yang dipimpin raja bolehlah dibahagikan kepada tiga komponen yang disebut sebagai konsep pengasingan kuasa. Komponen-komponen ini adalah badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman. Di peringkat kerajaan pusat, juga wujud komponen suruhanjaya yang menjalankan fungsi-fungsi tertentu secara bebas. Secara umumnya, semua rakyat Malaysia tertakluk kepada set undang-undang yang sama. Oleh itu, badan kehakiman adalah "berkongsi" antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Bagi badan eksekutif dan badan perundangan pula, kerajaan pusat dan kerajaan negeri beroperasi secara bebas.

Rajah 1: Konsep Pengasingan Kuasa Kerajaan Pusat dan Negeri

Peta Kampung Sri Damai (31 Oktober 2016)

Proses memetakan Kampung Sri Damai. Peta ini dibuat dengan menggunakan perisian Adobe Illustrator. Peta adalah berasaskan peta Google Maps yang berskala 1.5 cm:100 m. Apabila siap sepenuhnya, ia akan memetakan jalan-jalan, saliran-saliran, rumah-rumah kediaman, bangunan-bangunan awam dan premis-premis perniagaan. Sempadan kampung adalah tidak rasmi dan dibuat secara anggaran sahaja oleh pemeta. (Tarikh kemas kini 11 November 2016)
Rajah 1. Kemas kini 30 Oktober 2016

Rajah 2. Kemas kini 31 Oktober 2016

Rajah 3. Kemas kini 1 November 2016

Peta-peta Negeri

Rajah 1. Kedudukan Pahang dalam Malaysia

Rajah 2. Peta Negeri Pahang


Rajah 3. Peta Daerah-daerah Negeri Pahang

Rajah 4. Peta Sempadan Politik (Parlimen dan DUN)

Bendera, Jata dan Lagu Negeri

Bendera Negeri:
Rajah 1. Bendera Negeri Pahang

Bendera Negeri Pahang terdiri daripada dua jalur mendatar yang mempunyai saiz yang sama. Jalur di atas berwarna putih manakala jalur di bawah berwarna hitam. Warna putih melambangkan kedaulatan dan pemerintahan negeri meliputi perkara-perkara berkenaan adat resam, adat istiadat, undang-undang, tatasusila dan kuasa-kuasa seorang Sultan yang memerintah negeri ini. Warna hitam pula adalah warna kebesaran Bendahara pada masa lampau yang pernah memerintah negeri ini (Portal Diraja Pahang t.t.).

Jata Negeri:
Rajah 2. Jata Negeri Pahang

Jata Negeri Pahang terdiri daripada gabungan cogan, gading bersilang, cogan kata "Ya Latiff" dalam tulis jawi dan skrol tertulis nama Negeri Pahang menggunakan tulisan rumi dan jawi. Mata cogan berbentuk daun kopi adalah simbolik kepada peristiwa kejayaan sewaktu menyusun perancangan untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan Pahang oleh Wan Ahmad yang ketika itu dihidangkan air kopi. Gading gajah yang bersilang melambangkan kegagahan dan keperwiraan negeri ini. Gading gajah juga melambangkan istiadat yang memberi erti negeri yang mempunyai adat istiadat. Gajah pada zaman dahulu digunakan sebagai kenderaan dalam istiadat Diraja. Huruf jawi yang mengapit cogan tersebut adalah perkataan "Ya Latiff" yang bermaksud "Allah Yang Maha Lembut" yang merujuk kepada pemerintahan Sultan yang berpaksikan kepada Agama Islam (Portal Diraja Pahang t.t.).

Lagu Negeri:
Rajah 3. Lagu Negeri Pahang